sakit belakang ketika hamil

MENGAPA WANITA HAMIL SERING MENGALAMI SAKIT BELAKANG ??

.

.

Kegembiraan bakal menimang cahaya mata sering terganggu apabila ibu hamil mengalami masalah sakit belakang. Sakit belakang ketika hamil selalunya terjadi apabila kandungan memasuki fasa trimester kedua.
.
Wanita hamil sering mengadu sakit di bahagian sendi sakroiliak iaitu sendi yang menemukan tulang pelvik dan tulang belakang. Kesakitan juga boleh terjadi di kawasan lumbar dan sendi simphasis pubis (sendi yang mencantumkan dua tulang pelvik bersama). Terdapat banyak sebab yang memungkinkan berlakunya kesakitan di kawasan-kawasan tersebut.

Antaranya ialah:
.

1) Perubahan Hormon:

Sebagai persiapan untuk proses kelahiran, tubuh badan wanita hamil secara amnya akan merembeskan sejenis hormon Relaksin yang membolehkan ligamen di kawasan pelvik untuk mengendur dan sendi-sendi menjadi longgar atau lebih elastik. Walaubagaimanapun, hormon Relaksin juga bertindak mengurangkan sokongan sendi-sendi tulang belakang. Hal ini seterusnya menyebabkan kesakitan dan ketidakstabilan tulang belakang. Keadaan juga akan menjadi lebih buruk sekiranya si ibu juga mempunyai otot yang kurang kuat untuk menyokong tulang belakang.

.

2) Regangan Otot Abdomen

Apabila kandungan mulai membesar, otot abdomen rektus atau lebih dikenali sebagai otot ‘six pack’ akan mengalami regangan hasil daripada pertambahan saiz rahim. Hal ini menyebabkan otot ini terpisah dari kawasan asalnya yang terletak di bahangian tengah abdomen. Regangan dan pemisahan otot ini dipercayai boleh memburukkan lagi keaadan sakit belakang.

.

3)  Pertambahan Berat Badan

Pertambahan berat badan adalah normal bagi ibu mengandung yang sihat. Namun begitu, pertambahan berat badan boleh menyebabkan sakit tulang belakang memandangkan tulang belakang berfungsi untuk menampung atau menyokong berat individu. Selain itu, kesakitan di bahagian tulang belakang juga boleh jadi berpunca daripada tekanan terhadap salur darah dan saraf di bahagian pelvik kerana pertambahan saiz bayi dalam kandungan.

.

4)  Tekanan

Tekanan emosi tanpa disedari sebenarnya juga boleh menyebabkan sakit belakang hasil daripada tekanan berlebihan di bahagian belakang badan.

RAWATAN UNTUK SAKIT BELAKANG KETIKA HAMIL

.
.
Sakit belakang ketika hamil bukanlah sesuatu yang tidak boleh diatasi melainkan sakit belakang tersebut terjadi sejak sebelum berlaku kehamilan lagi. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh si ibu untuk meminimakan kesakitan di kawasan tulang belakang.
.

1)  Memperbaiki Postur Tubuh Badan :

Postur tubuh badan yang tidak seimbang boleh memberi tekanan berlebihan kepada tulang belakang kita. Oleh itu, mengamalkan postur tubuh yang betul ketika bekerja, duduk mahupun tidur adalah salah satu inisiatif yang amat baik bagi megurangkan sakit belakang.

.

Sebagai contoh, sekiranya ibu hamil tidur dalam keaadan mengiring, meletakkan bantal di antara dua lutut boleh meminimakan stress di bahagian belakang badan. Demikian juga ketika duduk di atas kerusi, pastikan anda meletakkan tuala atau kain yang telah digulung di bahagian belakang tubuh untuk dijadikan sokongan tambahan untuk tulang belakang. Bahagian kaki juga seelok-eloknya direhatkan di atas bangku kecil dan duduk tegak dengan bahu disandarkan ke belakang.
.

2) Fisioterapi :

Ahli fisioterapi adalah rujukan terbaik apabila melibatkan penilaian dan pengurusan sakit belakang ketika hamil. Rawatan fisioterapi boleh membantu mengatasi masalah sakit belakang sekiranya penilaian secara menyeluruh dilakukan ke atas ibu hamil tersebut.

.

Dalam kebanyakan kes, ahli fisioterapi bertanggungjawab meningkatkan sokongan dan membetulkan posisi sendi tulang belakang. Program yang spesifik akan dipilah berdasarkan keperluan pesakit dan keadaan kandungan pesakit.

Antara rawatan fisioterapi yang boleh dilakukan termasuklah:
Urutan

Kinesio taping

Rawatan haba atau ais

Senaman untuk kestabilan

Pendidikan tentang postur badan yang betul

Sokongan kandungan

Senaman berasaskan yoga dan pilates
.
Senaman :
Senaman yang teratur mampu meningkatkan kekuatan dan regangan otot di bahagian belakang badan dan abdomen. Terdapat beberapa senaman yang selamat untuk wanita hamil antaranya:
– Berjalan
– Berenang
– Basikal statik/pegun
.
Walaubagaimanapun, perbincangan dengan ahli fisioterapi adalah penting untuk memastikan keaadan anda sesuai dengan senaman yang dilakukan.

Klik Sini Untuk Menghubungi PhysioMobile

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *